Wednesday, December 16, 2009

Tren ETS

KTMB terima unit pertama ETS

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my


UNIT pertama Set Tren Elektrik (ETS) dari Korea yang diterima KTMB di Stesen Keretapi KL, semalam.

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Setelah dua tahun menunggu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akhirnya memiliki tren terpantasnya apabila satu daripada lima unit Set Tren Elektrik (ETS) yang ditempah diterima hari ini.

Tren buatan Korea menggunakan teknologi Jepun itu akan beroperasi April depan iaitu sebaik sahaja kesemua lima unit ETS tiba dan selesai diuji.

ETS merupakan tren paling canggih dan terpantas pernah dimiliki KTMB yang mampu bergerak pada kelajuan 140 kilometer sejam (km/j).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, unit pertama ETS berlepas dari Pelabuhan Masan, Korea pada 21 November lalu dan selamat tiba di West Port, Pelabuhan Klang pada 3 Disember lalu.

Katanya, dengan kelajuan 140 km/j, tren ini hanya mengambil masa satu jam 55 minit untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh berbanding dua jam 50 minit menaiki kereta api shuttle.

"Mengambil kira permintaan semasa, tren ini akan beroperasi di antara Ipoh-Seremban-Ipoh dengan jangkaan waktu perjalanan sehala kurang tiga jam.

"Perkhidmatan tren ini akan berhenti di stesen utama yang ditentukan sebelum operasinya bermula April depan," katanya ketika berucap pada majlis penerimaan ETS di Stesen Keretapi KL di sini hari ini.

Turut hadir Duta Jepun ke Malaysia, Takashi Hoshiyama; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Zakaria Bahari; Pengerusi KTMB, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed dan Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan.

Tee Keat berkata, KTMB akan menerima baki empat lagi ETS secara berperingkat-peringkat sehingga Februari 2010.

Menurutnya, tren berharga RM48 juta seunit itu mampu membawa 350 penumpang pada setiap perjalanan.

Jelas beliau, dalam sebulan, ketika ini 50,000 penumpang menaiki kereta api dari Ipoh ke Kuala Lumpur manakala 5,000 hingga 10,000 penumpang menggunakan pengangkutan sama dari Seremban ke Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment